15 October 2011

[politik] anak muda

Memperlekehkan anak muda
Oleh Amaluddin Zhafir

“Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara… Potensi setiap golongan ini mestilah digembleng dan dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap, kreativiti mesti dipupuk dan bakat mereka dibajai untuk terus berkarya.” – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011.
“‘Gembleng. Optimum. Perlengkapkan. Setiap golongan. Gilap. Pupuk. Mesti.’ Ayat-ayat ni aku saspek ada bau-bau komunis ja…” kata seorang penganggur kepada penulis, ketika mendengar ucapan Najib yang disiarkan secara langsung melalui kaca TV di sebuah restoran di ibu kota.

Sementara seorang rakan yang satu lagi pula memberi respon, apa yang dikatakan Najib hanyalah sebagai “janji pilihan raya, ayat-ayat politik.” Tepat dan padu analisa mereka.
Anak muda ditolak ke tepi
Realitinya, begitulah andaian kasar golongan muda terhadap apa yang cuba Presiden UMNO itu mahu laksanakan melalui Bajet 2012 itu – kosong, tidak memberi apa-apa makna.
Dengan menolak ke tepi golongan idealis muda yang masih terawang antara idealisme dan realiti, rata-rata golongan muda yang datang dari pelbagai latar, pengumuman Najib itu hanyalah ungkapan ‘trying hard’ untuk menyedapkan hati rakyat Malaysia. Dan secara tidak langsung memperlekehkan golongan muda.
Bolehlah beliau berkata begitu, hasil Bajet-nya itu jelas untuk jangka masa pendek sahaja, dengan pemberian ‘sekali jalan’ yang nyatanya adalah untuk menarik undi secepat mungkin, sebelum rakyat lupa akan janjinya itu.
Dengan modal kononnya mahu membangunkan golongan belia, lalu dihamburkan wang ringgit, dibangunkan pula syarikat-syarikat bekepentingan kerajaan dan swasta dengan jutaan ringgit – yang belum tentu ada akauntabiliti dan ketelusan – untuk “pembangunan sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif.”
Benar, setiap sebahagian besar kerajaan dalam dunia, dengan memetik kata Najib, “prihatin terhadap suara dan nurani orang muda.”
Begitu pun, tahap ‘keprihatinan’ Najib itu, tidak pula menampakkan ciri-ciri keperihatinannya terutamanya bagi golongan muda luar bandar, yang mungkin ketika rencana ini ditulis, sedang sibuk dengan aktiviti merempit, menghisap dadah, dan pelbagai lagi masalah sosial.
Tetapi punca terjadinya masalah ekonomi dan sosial golongan muda, jauh dari itu. Ia sangat berkait rapat dengan pembentukan dan pembangunan ilmu yang selama ini tertutup rapat.
Kuncinya di sini ialah kebebasan berfikir, untuk menggapai ilmu dan pemahaman yang jitu, bagi golongan muda. Inilah yang diabaikan BN sejak 54 tahun ini.
Jika Isaac Newton dilarang meluahkan idea kepada guru dan rakan sekolah, jika dia asyik terperap di bilik dan tidak bebas untuk berjalan menenangkan diri di bawah pokok epal, mungkin tiada kedengaran tentang graviti.
Jika Albert Einstein dikongkong daripada berhujah di sekolah, di university atau di mana sahaja kerana tiada tauliah, tentu dia tidak dapat menghasilkan teori relativitinya yang telah mengubah persepsi manusia terhadap ruang, masa dan gravity.
Najib yang ‘jauh ke hadapan’ masih mahu membawa rakyat Malaysia berhampiran lohong gelap di mana anak muda hanya dibenarkan menghafal dan dilarang bertanya serta berhujah mempersoalkan ‘tradisi’ kerana semua itu akan membawa kepada falsafah – dan falsafah itu dianggap oleh para pemimpin negara sebagai sesuatu yang menyesatkan, tidak berfaedah dan tidak membangun.
Garang anak muda, bila dewasa sama saja

Tiada kata seindah bahasa, tetapi bermadah sahaja tidak ada manfaatnya apabila Najib dan para Perdana Menteri sebelum ini memekakkan telinga dari jeritan garang golongan idealis muda Malaysia.
Apabila kebebasan untuk berpolitik, menubuhkan kelab-kelab yang berorientasikan idealisme dan falsafah dalam kampus dihalang untuk mekar kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti, anak muda terus mandom.
Bagaimana pun, dalam ‘kegarangan’ golongan muda berjuang menuntut pemansuhan AUKU, tidak pula terdengar desakan dari pejuang pelajar ini untuk mendesak menuntut kebebasan akademik secara total – yakni menuntut subjek-subjek penting diwujudkan, contohnya pengajaran falsafah, perbandingan ideologi, antara agama, kesaksamaan gender, dan banyak lagi di tempat pengajian mereka.
Ini juga kesan ‘kejayaan’ AUKU yang bukan sahaja menyekat aktivisme mahasiswa tetapi juga menutup minda mereka, termasuk yang mengaku menjadi pejuang pelajar.
Kerana itu, apabila mereka menjadi graduan dan menjejak alam dewasa, politik mereka kekal terbatas kepada agama dan kaum, selain politik carma.
Jika Najib jujur prihatin terhadap nasib golongan muda yang selama 54 tahun ini dikongkong oleh partinya sendiri, beranikah beliau untuk ‘memandibungakan’ sistem pendidikan?
Memang tepat apa yang dikatakan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, “Bajet BN itu dicipta untuk memenangi pilihan raya akan datang, bukan untuk mereformasi dan mentransformasi sistem negara ini.”
UMNO dan BN sudah kering idea untuk mengubah segala ‘kekotoran’ yang dihasilkan mereka selama ini.
Bagi menutup bangkai gajah, Najib berniat pula mahu menubuhkan MyCreative Venture Capital, kononnya sebagai projek perintis ‘membangunkan belia’ dan memberi bantuan kepada golongan muda yang mempunyai idea kreatif.
Dengan modal ini, menurut kefahaman penulis, agaknya hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai Steve Jobs dan Bill Gates, masing-masing pengasas Apple dan Microsoft.
Kebebasan melahirkan kreativiti melahirkan kejayaan
Sedarkah Najib bahawa kebebasan yang ada dalam masyarakat di mana Newton dan Einsten (yang agak terkongkong pada masa itu) dan Bill Gates serta Steve Jobs (yang amat luas terbuka ruang kebebasannya) banyak membantu mereka menterjemahkan idealisme kepada teori, amalan dan produk?
Harapnya Najib sedar, jenis-jenis manusia pencipta dan saintis yang disebutnya dalam Bajet 2012 BN itu sebenarnya adalah produk dari sistem demokrasi yang bebas di mana kebebasan berfikir yang muncul dari kebebasan akademik dan peluang sama rata tanpa kuota.
Atau adakah secara halusnya, dengan memperbanyakkan syarikat-syarikat yang dikuasai kerajaan untuk ‘membantu’ golongan muda ini, Najib sebenarnya mahu melahirkan belia-belia yang bergantung harap pada subsidi kerajaan atau kontrak?
Ini tidak dapat dijangkakan, tetapi mengikut rekod rasuah, ketirisan, ketidaktelusan dan salah guna kuasa BN selama ini, adalah tidak salah untuk mencurigai niat halus Najib itu.
Yang paling aneh, walau tak sepelik mana, tiada pula mahu BN mencermin diri bersama Majlis Profesor Negara dan berfikir untuk memperbaharui sistem pendidikan Malaysia sedalam-dalamnya.
Meminjam kata-kata Presiden UMNO dalam Bajet 2012 itu, “Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan.”
Apakah ketam cuba mengajar anaknya berjalan betul?
Justeru, adalah mudah jika mahu memupuk dan membajai ilmu pengetahuan dengan memperkemas, memperbaiki corek camping sistem pendidikan, sebelum pergi jauh memberi modal kepada belia yang dianggap kreatif sahaja melalui syarikat-syarikat yang bakal tumbuh bak cendawan selepas hujan nanti.
Maksudnya, sistem pendidikan kekal tempang manakala sistem mengemis projek dan kontrak akan berterusan. Anak-anak muda pula terus kehilangan arah kerana kreativiti gagal muncul tanpa kebebasan berfikir, bersuara dan berekspresi.
Hanya peruntukan wang tanpa membebaskan cengkaman minda
Berkaitan dengan agenda BN memantapkan pembangunan pendidikan, Najib selaku Menteri Kewangan mengumumkan RM50.2 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pendidikan dengan menyebut RM1.9 bilion akan diberikan kepada semua jenis sekolah.
Pun begitu, bunyinya tetap indah, gorengan bahasanya hasil karya penulis skrip Bajet 2012 sangat memukau. Memukau hanya untuk mereka yang dahagakan projek, dan mereka yang lembam dalam memahami maksud tersirat sebenar BN – mereka lebih utamakan pemberian wang ringgit berbanding pembangunan masyarakat madani yang benar-benar bebas dari cengkaman kerajaan yang tidak telus dan tidak menghargai kebebasan.
Benar seperti apa yang disebutkan rakan penulis sewaktu di restoran pada 7 Oktober lalu bahawa kata-kata Najib itu bersifat komunis dengan menawarkan kebajikan bersyuarat (tunduk kepada pemerintah) dan dalam masa sama merobotkan rakyat.
Setiap kali bajet atau peruntukan, hanya wang untuk mengekalkan apa yang ada. Kurikulum atau sukatan pendidikan masih di takok lama. Kalau sudah diubah kerajaan, ia sekadar menulis semula sejarah mengikut agenda politik.
Jika sistem pendidikan yang bebas, adil dan terbuka serta peluang sama rata mengikut merit dapat dijadikan budaya, bukan hanya Steve Jobs atau Bill Gates sahaja dapat dihasilkan, malah versi baru Plato, Aristotle, Ibnu Sina, William Shakespeare, Leonardo Da Vinci, Ludwig van Beethoven, Srinivasa Ramanujan dan Nikolai Tesla akan muncul.
Najib lebih rela ‘play safe’ semata-mata untuk kepuasan diri dan parti, dan untuk mengekalkan kuasa bagi pilihan raya umum ke-13 yang mungkin akan berlaku tidak lama lagi, sebelum rakyat lupa akan ‘kebajikan sekali jalan’ beliau.
Jika setakat itu sahaja keberanian Perdana Menteri, simpan sahaja Majlis Profesor Negara. Mana tahu suatu hari nanti untuk Bajet akan datang boleh ditubuhkan sebuah Muzium Profesor Negara untuk memperingati jasa-jasa mereka yang tidak membantu memupuk ilmu dan kebebasan berilmu kepada semua rakyat Malaysia.

**directly copy from 

http://wargamarhaen.blogspot.com/2011/10/memperlekehkan-anak-muda.html#more

No comments: